“Kursus Asas Komando”. Hari plg ditakuti tiba. Sejak itu, bila dgr Shazli laungkan azan, kami akan trauma. Dan Kenalkan Korpral zul, manusia yg paling dibenci oleh pelatih komando masa tu.

Assalamualaikum dan salam sejahtera kepada pembaca dan terima kasih admin yang menyiarkan tulisan ini. Nama aku Abdullah berumur awal 30an, sudah berumahtangga dan mempunyai beberapa cahaya mata. Alhamdulillah.

Tujuan aku menulis sekadar ingin berkongsi pengalaman aku menghadiri Kursus Asas Komando dan lulus dengan jayanya beberapa tahun lalu. Alhamdulillah.

Sebelum itu aku terpaksa rahsiakan beberapa perkara dan Pasukan mana yang aku bertugas atas sebab keselamatan. Aku hanya ingin berkongsi pengalaman yang tak seberapa ini mudah-mudahan anak muda yang lain terbuka untuk sertai kursus sebegini.

Jadi, sekiranya ada beberapa perkara tidak tepat mengenai fakta sebenar kisah ini ianya disengajakan dengan tujuan untuk menjaga kerahsiaan.

Sebagai pengenalan, terdapat 6 pasukan khas yang diiktiraf dalam Malaysia dan menerima elaun pasukan khas iaitu 69 Komando, GGK, PASKAL, PASKAU, STAR Team dan UTK PDRM. Kami bersahabat baik, saling menghormati dan berkongsi matlamat yang sama.

Sejak kecil aku tidak menunjukkan minat untuk menyertai badan uniform walaupun ayah aku seorang anggota PDRM begitu juga arwh datuk. Aku juga bukanlah seorang yang aktif atau lasak memandangkan aku membesar di bandar.

Apalah sangat lasak bandar berbanding tinggal di kampong. Jadi aku tidak didedahkan dengan aktiviti lasak sangat.

Ini antara point yang selalu orang yang mengenali aku sejak kecil akan cakap dan hairan bagaimana aku boleh lulus kursus asas komando – kursus paling piaww di Malaysia.

Oh, piaww di sini membawa maksud tough atau hebat. Maafkan aku sekiranya lain daripada apa yang semua sedia maklum. Inilah term yang selalu digunakan dikalangan kami.

Mungkin termakan sumpah tak mahu menyarung uniform, Alhamdulillah aku diterima masuk ke salah satu cabang uniform.

Pada asalnya dalam kepala aku langsung takda niat nak masuk uniform tapi mungkin ianya salah satu rezeki Allah nak bagi. Aku syukur dan redha.

Selepas melalui kursus asas uniform beberapa bulan, aku diserap ke unit. Beberapa kawan satu batch (skuad) mengajak aku menyertai pasukan komando yang mana langsung aku tak terlintas untuk masuk. Aku belum berumahtangga masa tu.

Tapi disebabkan buddy aku ketika itu begitu beria, aku pun dengan berat hati ikut serta. Aku langsung tak pernah ambil tahu bentuk training dan apa yang aku akan hadap semasa dalam kursus asas komando itu nanti.

Aku cuma go with the flow. Aku berlari, berenang dan buat physical training (PT) sebagai persediaan bersama buddy aku- Fathi (bukan nama sebenar).

Tiba harinya kami dipanggil untuk melapor pemanasan pra asas komando. Melapor saja di pusat latihan, jantung berdetak bukan main kencang melihatkan jurulatih yang masam dan garang. Kalau yang bermisai saling tak tumpah macam misai S.M A Galak Gerak-gerak Khas.

Menyesal pun ada tapi aku gagahkan juga diri. Seorang skuad aku di unit asal pesan sekiranya aku balik awal tanpa pakai beret komando, dia nak terajang aku – antara malu dan maruah.

Aku gagahkan diri. Ada dikalangan skuad aku nak terkucil pun tak terkeluar. Punyalah takut masa tu. Sepanjang pemanasan pra asas komando, kami diajar teknik berlari dan PT. Terdapat uji cergas beberapa kali dan perlu lulus dan ada peningkatan.

Waktu ni agak mencabar kerana setiap minggu badan makin fit tapi penat tu yang buatkan aku susah nak perform untuk uji cergas.

Tapi Alhamdulillah aku lulus semua ujian yang dijalankan dan disenarai pendek untuk ke peringkat Kursus Asas Komando.

Peringkat pemanasan masih dikira heaven disebabkan tiada aktiviti malam dan sesekali boleh overnight di luar dan cuti hujung minggu bergantung kepada kelulusan pegawai.

Pernah sekali aku dan beberapa skuad kantoi keluar kem untuk beli burger pada waktu malam selepas selesai aktiviti. Tak lalu nak telan megi cup saja malam-malam.

Kebetulan brader gerai burger tu kenal dengan JL Komando juga. Jam tu juga JL datang jemput kami dengan karpet merah. Duit ambil, burger tak dapat. Sakit yang dapat. Khinzir betul.

Sepanjang pemanasan, jurulatih (JL) langsung tidak pernah naik tangan atau menengking. Sebaik-baik umat. Kalau buat silap atau lewat beratur pun cuma diberi hukuman push up atau PT.

Tapi menurut senior, air muka dan sikap JL akan berubah 180 darjah selepas malam pembukaan. Bersedialah. Apa yang menyedihkan, buddy aku – Fathi gagal dalam beberapa ujian dan tidak layak ke peringkat seterusnya. Fathi perlu return to unit (RTU). Kami punyalah sedih dan kecewa.

Sepanjang malam kami menangis. Fathi yang beria nak sangat jadi komando tapi aku yang layak untuk teruskan.

Pada mulanya aku berat untuk teruskan. Tapi Fathi memujuk aku bersabar dan jangan sesekali tarik diri. Aku paksakan diri untuk teruskan kursus tanpa buddy.

Fathi hadiahkan aku dock tag nya kepada aku sebagai azimat untuk aku teruskan perjuangan menjadi seorang komando. Cita-cita Fathi sejak kecil.

Fathi lah yang mengajar aku dapatkan pace berlari, belanja aku kasut sukan yang bagus dan paksa aku berlari pagi dan petang untuk dapatkan fitness sebelum kami sertai pemanasan.

Aku tak kan lupa jasa baik Fathi biarpun kini kami bukan lagi di unit yang sama. Terima kasih Fathi!

Tarik diri dalam kursus asas komando adalah kerja gila dan bodoh. Perkataan tarik diri adalah haram disebut dan sekiranya ada yang menarik diri, pelatih akan hadapi suatu neraka dunia. Azab seksanya hanya Allah mengetahui.

Disebabkan sudah 1/3 perjalanan, aku teruskan perjuangan berbekalkan doa orang tua dan kawan-kawan khasnya Fathi yang mahukan aku lulus.

Pembukaan Kursus Asas Komando

Hari yang paling ditakuti akhirnya tiba. Dari pagi membawa ke petang JL sangat baik dengan kami. Diberi makan kenyang-kenyang, buat persediaan peralatan beg FSMO, kilatkan kasut dan berehat.

Menjelang malam, kami diarahkan beratur selepas solat isyak di padang kawad.

Kami berdiri dihadapan pegawai-pegawai kanan dengan lampu yang terang. Shazli (bukan nama sebenar dilantik sebagai bilal. Azan mendayu-dayu dilaungkan dan sejurus selepas laungan terakhir, lampu dipadamkan dan bergelap.

Maka bermulalah neraka dunia bagi kami diperlakukan tanpa belas kasihan sehingga azan subuh berkumandang. Sampai sekarang kami akan trauma kalau dengar Shazli melaungkan azan.

Maaf aku tak dapat nak ceritakan lanjut apa yang berlaku sepanjang malam pembukaan kerana ianya isu yang sensitif. Namun untuk bergelar seorang komando sejati, inilah detik pertama ujian yang wajib lulus.

Beberapa skuad aku tumbang masa malam pembukaan. Sedihnya bukan main kerana kami dah bersusah payah ke tahap ini.

Mulanya sedih tapi bila jumpa balik lepas dah lulus rupanya ada yang sengaja tumbangkan diri sebab dah tak tahan kena lanyak. Khinzir hutan betul.

Kursus sebegini melahirkan comradeship, blood brother dan kekitaan yang tinggi yang mungkin takda dalam kursus lain. Susah senang dilanyak memberikan 1001 kenangan yang pahit tetapi manis bila dikenang. Komando pun menangis masa dalam kursus.

Peritnya nak bergelar lelaki sejati. Itulah senjata untuk menguatkan mental. Saling memberi semangat dan membantu. Dalam kursus kita akan kenal kawan yang pentingkan diri dan siapa sahabat sejati.

Untuk peringkat seterusnya aku akan sambung dalam penulisan lain sekiranya berkesempatan inshaAllah. Sekadar perkongsian pengalaman yang tak seberapa dan melepas rindu mengimbau kenangan kursus. Pengalaman pahit yang indah bila dikenang.

Part 2:

Assalamualaikum dan salam sejahtera pembaca IIUM Confessions yang dimuliakan. Terima kasih Admin menyiarkan tulisan aku sebelum ini.

Semoga bermanfaat kepada yang membacanya. Aku tak pandai menulis, hanya sekadar mahu berkongsi pengalaman yang sedikit ini untuk melepaskan rindu kepada kursus dan kawan-kawan seperjuangan.

Sebelum meneruskan penulisan ini, suka untuk aku terangkan sekali lagi yang beberapa perkara dalam tulisan ini terpaksa dengan sengaja berbeza dengan fakta sebenar,

Ianya bagi menjaga kerahsiaan dan mengelak salah fahaman terutama latihan asas komando yang sebenarnya sangat tidak mampu diterima akal oleh manusia normal.

Oleh yang demikian, teknik latihan dan beberapa perkara telah aku pesongkan faktanya dengan sengaja bagi mengelak ditiru orang awam dan disalah ertikan.

Ku ambil rumput di ladang

Ku jadikan penyamaran

Rupa elok bertukar menjadi garang

Agar tak dapat dikesan

Bergerak..

Bertempur..

Komando pantang undur..

Biarpun peluru datang bertabur

Itu hanya peluru kapur..

Stap Zul

Dalam ramai-ramai JL, ada seorang ni memang aku paling benci dan takut. Namanya Zul.

Semua JL berpangkat Staf Sarjan ke bawah dipanggil Staf oleh pelatih dan Zul berpangkat Korpral. Orangnya hitam manis, mukanya bagai tiada Nur dan rambutnya jarang, keriting dan misai ibarat tiang lampu tak siap.

Masa peringkat pemanasan, kami pernah terserempak dengan Stap Zul di pasar malam bersama anak perempuannya. Ya Allah, bezanya.

Anaknya bukan main comel. Rambut hitam keperangan, kulitnya gebu. Jauh beza dengan muka Stap Zul. Dengar kata isteri Stap Zul bekas model. Entah tangkal apa dia pakai.

Stap Zul manusia yang paling aku dan kawan-kawan benci dalam basic. Aku tak tahu bila masa dia balik rumah sebabnya setiap malam dia akan ke tapak basic untuk melayan pelatih.

Stap Zul terlalu sayangkan pelatih sehinggakan dia akan tidur di tapak latihan bersama JL yang lain sambil “bergurau senda” dengan kami sampai subuh.

Setiapkali Stap Zul datang, malam itu jangan harap boleh tidur. Ada saja akal bijaksana yang dia rancang. Pantang jumpa benda pelik depan mata, itulah yang akan hinggap di badan komando.

Isteri Stap Zul dikhabarkan sedang sarat mengandung, aku naik hairan kenapalah dia tak bercuti panjang persediaan menyambut anaknya tetapi dia setia menemani pelatih setiap masa termasuk hujung minggu. Workaholic betul.

Pernah aku dan kawan-kawan yang tak tahan dengan gurauan (dibaca azab seksaan) Stap Zul mendoakan yang bukan-bukan terjadi ke atas anaknya. Nauzubillah. Masa tu memang hati tengah hangat. Geram Allah saja tahu.

Takda satu pun jari yang tak bengkak kalau Stap Zul duty. Parut X Men di belakang badan masih segar gara-gara Stap Zul. Dengar bunyi motor Kawasaki dia tu saja buatkan kami satu skuad menyumpah seranah (dalam hati)… .Apalah nasib aku lepas ni….

Sebelum majlis penutup kursus dan pemakaian beret, Stap Zul masih datang ke tapak latihan namun langsung tidak disentuhnya kami.

Katanya, “masa korang dah habis…aku nak kacau adik baru pulak..”

Habis kursus, aku beberapa kali keluar mengeteh dengan Stap Zul. Masih trauma bila tangan dia letak atas bahu aku sambil ketawa.

Tapi Alhamdulillah kami jadi kawan sekarang. Stap Zul juga dah pencen dan sibuk dengan kehidupan sebagai pesara. Kebencian sudah hilang yang ada sekarang ukhwah yang indah.

“Askar…!”

“Stap..”

“Askar..”

“Stap..”

Askar..”

“Stap..!”

“Slow saja aku panggil…suara mana..?” Jerit JL. Apa yang aku hairan, semua JL macam orang pekak badak. Kita jerit menyahut berkali-kali pun dia tak dengar..

“Ha..yang muka bujur sireh ni.. mari… hang orang mana?” Jerkah Stap Rusli

“Kedah stap..”

“Eh, Kedah kampong aku. Kedah tang mana..”

“Akaq Pelughuu stap..”

“Cil4ka komando…berani orang Kedah mai basic. Aku sorang ja orang Kedah boleh jadi Komando, faham?”

“Faham stap..”

Zasss…kena seliang rotan dibelakang badan. Mengalir air mata jantan seketika. Apa dosa aku? Jujur mengaku orang Kedah pun salah.

Dalam basic, kau mengaku lah orang apa pun, semua salah.

“Kamu urang mana?” Tanya Stap Jamain

“Sabah stap!”

“Uinaa.. Sabah di mana kau jo?”

“Tambunan stap!”

“P4lui…tiada lagi urang Sabah lulus basic selagi aku jadi JL, faham?”

“Faham stap!”

“Ok…nyanyi lagu Aku anak kampong kuli-kuli sahaja satuu…”

And repeat. Begitulah soalan seterusnya sampai Abang Jamil mampus. Dan jangan pelik kalau JL yang asalnya Johor tapi kecek Kelate mengaku asal Tumpat, boleh madah Sarawak mengaku orang Melanau asal Serian dan bertukar-tukar ikut suka selera dia saja.

Akhirnya..yang salah…pelatih jugak.

Walaupun kita sebagai pelatih tak faham, jawapan faham adalah kemestian walaupun sebenarnya kita tak faham apa sebenarnya yang JL nak.

Ikhtiar Hidup/ Survival

Setiap peringkat pelatih perlu melalui latihan ikhtiar hidup. Di hutan kami dibekalkan parang dan tombak untuk mencari makanan. JL mengajar mengenal tumbuhan hutan. Yang boleh dan tak boleh di makan. Masa diajar, otak menerawang entah ke mana. Terlelap usah kira.

Aku tak hafal pun nama-nama tumbuhan yang ada. Satunya sebab aku orang bandar, banyak yang aku tak tahu. Kalau tanya serai tahu lah aku. Serai hutan mana aku kenal. Jap nak google..

Satu pagi, kami dilepaskan untuk mencari makanan. Kami meredah hutan untuk mencari buah atau binatang yang boleh di makan.

Teman aku Balok, menjerit..”Babi..!”

“Kejar! Kejar!” Yang lain menyahut. seekor babi hutan sedang-sedang badannya berada di hadapan kami. Kacak rupanya. Tanpa membuang masa, dikejarnya babi hutan yang bertaring tu. Terliur. Masing-masing kelaparan.

Tak lalu nk telan umbut dan buah sawit saja sepanjang hari. Setahu aku babi hutan kejar orang. Tapi dalam situasi tu kami mengejar babi. Bertempiaran babi lari membabi buta. Pace 2 mungkin.

Melepas rezeki kami pagi tu. Dasar Khinzir. Pakat menyumpah belaka. Satu yang aku tak sangka bila masuk basic, tiba waktu solat JL akan membunyikan signal dan dari jauh kami dikehendaki balik untuk solat.

Alhamdulillah sepanjang kursus solat diutamakan. Biarpun JL ada yang bukan Islam tapi cukup masa solat, JL akan ingatkan untuk solat. Tukar pakaian bersih. Culas solat akan mendapat habuan. Masa solat, pelatih bukan Islam akan menjaga keselamatan pelatih yang lain.

Stand two.

Konsep ditangkap salah, tak tangkap tak salah. Oleh kerana mencuri merupakan satu kesalahan dan boleh dihukum mandatori, teknik dan skill mencuri tetap perlu dalam basic.

Pengalaman jahiliah mencuri masa remaja di Pasaraya Warta aku aplikasikan dalam basic. Aku mengendap khemah JL dan bila ketiadaan JL atau leka, susu tin, Wahi, sarsarapila kordial dan roti akan menjadi mangsa.

Wahi ni rasa macam milo tapi bukan milo. Macam Ovaltine tapi bukan Ovaltine.

Selalunya aku buat kerja sorang diri. Dan makanan tu akan dikongsi dengan beberapa teman terdekat. Tak boleh kongsi dengan semua sebabnya pernah sekali aku panggil yang lain untuk makan, kantoi pulak dengan JL. Jadinya terpaksa makan secara sorok-sorok.

Dan kadang kami foods dump di lokasi rahsia. Tapi bila aku patah balik nak makan, dah licin habis. Tak tinggal langsung kat orang belakang. Kebuluran tahap tinggi.

Jali – pelatih paling slow kerapkali tak dapat makan yang dicuri. Kesian aku dengan Jali. Masalahnya Jali ni lembap. Orang suruh makan dia heboh layan mengantuk.

Jadi bila tak makan, dia tak ada tenaga nak buat aktiviti. Kami terpaksa jaga Jali ni. Kalau dia slow, kami pun akan dapat habuan.

Satu pagi, aku curi roti untuk Jali. Dan disebabkan masih tak cukup, Jali cuba untuk curi sendiri. Malangnya kedapatan oleh Stap Zul. Seharian Jali ditanam dalam pasir. Banyak lagi Jali kena belajar.

Tapi sekarang Jali bukan Jali yang dulu. Pernah buat misi PBB ke Lubnan dan tamatkan kursus pelipat payung terjun. Bab terjun payung ni memang makanan Jali sekarang. Tapi skill mencuri Jali aku rasa masih lagi tahap noob.

Buddy basic dan jatuh sakit

Semasa berkursus, jarang aku sakit. Setakat sakit kena lanyak tu normal. Demam atau selsema memang payah. Alhamdulillah. Mungkin juga sebab pelatih dibekalkan dengan vitamin dan ubatan medan.

Setiap hari staf medic akan periksa tahap kesihatan. Tapi satu hari disebabkan sejuk melampau dan duduk dalam hujan, aku demam.

Menggigil sepanjang hari. Dalam basic aku ada buddy. Namanya Soleh. Soleh memang buddy terbaik. Dia usahakan untuk aku makan dan settle kan kerja yang sepatutnya aku buat. Soleh juga selalu nasihat kan aku.

Katanya, ” semua ni ibarat angin lalu saja..satu hari nanti semua ni akan habis…datang dengan harapan..pulang dengan kejayaan..”

Kuat semangat Soleh. Mana tak nya, abang nya komando, ayahnya bekas komando dan adik beradik majoriti uniform. Kadang ada masanya aku akan down juga bila dilanyak.

Waktu yang paling ditakuti ialah bila JL buka kilang. Telinga ni macam tak rasa apa dah. Kebas di kokak JL tanpa belas kesian macam gigit batang tebu.

Pernah sekali bila dah tamat kursus, aku tertidur di depan ruang tamu rumah ketika cuti. Anak buah aku buat bising. Punyalah geram, aku bangun, gigit telinga dia kuat-kuat. Terkedu dia. Rasakan.

Sampai sekarang anak buah aku tu trauma kalau jumpa aku. Pastu akan pegang-pegang telinga dia.. hehe.

Soleh sekarang bergelar JL. Penuh kursus dan ilmu di dada. Melatih untuk terlatih dan tiada hari tanpa latihan. Aku takan pernah lupakan jasa Soleh. Terima kasih buddy..

Masa pemanasan aku pernah teman Soleh hantar Snack Plate KFC untuk aweknya yang bekerja di kedai Topup. Jenuh teman dia mengayat awek. Lama betul. Tak putus asa. Untung teman sebab dapat juga topup RM5. Sekarang dah berkahwin dan beranak 2. Komando pun jiwang karat juga.

Selepas basic, persahabatan kami masih akrab dan berpisah disebabkan tuntutan kerja. Pernah sekali kami sedang usha sorang awek. Dan kebetulan awek tu balas balik pandangan aku sambil senyum, Soleh dengan sengaja pegang tangan aku.

Terus awek tu blah macam tu saja. Melepas. Cilak4k Soleh.

Stap Penyu

Mendengar namanya saja buatkan kita tahu asal mana orang ni. Orangnya serius tetapi kalau dia duty, memang pelatih akan tenang. Boleh curi masa tidur dan relaks. Tak kacau langsung. Dan sesekali Stap Penyu akan seludup rokok bagi pada kami. Harga medan perang tapi boleh lah melepaskan gian.

Janji berasap. Stap Penyu ni kalau duty, dia akan duduk dalam hammock sepanjang hari. Kami lega gila kalau tahu dia duty hari tu. Heaven bak kata orang Perak. Disangka orang Borneo

Dalam basic ada pelbagai bangsa khasnya Bumiputera Sabah Sarawak. Oleh sebab muka aku yang selalu disalah tafsir sebagai orang sebelah Borneo, aku selalu kena join kalau JL kebosanan dipaksa menari tarian ngajat atau mengalai. Hentam sajalah janji JL happy. Nak kena lanyak ke menari? Pilih.

Dalam basic, pelatih wajib hafal lagu sebagai signature. Kalau JL suruh menyanyi, maka nyanyilah apapun lagu untuk hiburan masa lapang. Untung yang suara sedap, berulang kali JL akan suruh nyanyi. Sepp..

Antara lagu yang aku selalu bawak ialah lagu Akulah Kekasihmu oleh AXL. Selesai menyanyi, hinggap seliang rotan. Sumbang katanya. “Next!”kata JL. Kalau sedap dah tentu aku level-level Haqiem Rusli sekarang ni.

Itulah serba sedikit pengalaman buat tatapan setakat ni. Anak menangis di sebelah. Terpaksa simpan yang lain buat sementara waktu. Walaupun aku beli beras, di tempat kerja akulah komando tapi di rumah isteri lebih komando dari aku…hehe

Jeritan isteri suruh basuh berak anak lebih menggerunkan daripada suara JL. InshaAllah aku akan sambung sekiranya berkelapangan. Sekali lagi, catatan ini hanyalah kenangan suka duka aku untuk perkongsian kepada sahabat sekalian. Tersalah fakta harap dimaafkan. Assalamualaikm w.b.t. – Abdullah (Bukan nama sebenar)

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *