Gambar sekadar hiasan. Terima kasih kerana membaca artikel kami ini. Mohon kongsi jika bermanafaat dan mohon maaf jika ada tersilap dan salah.
Hinanya Si Pelajar Miskin IV
Hai semua pembaca. Aku si Bunga Putih, “rakan maya” kalian. Terima kasih ye admin, jika masih sudi menyiarkan ceritaku disini. Maaf admin jika aku menjadikan page ini ibarat “diariku” yang tidak pernah di dendang.
Untuk part 1, klik link dibawah
Terima kasih yang tak terhingga juga aku ucapkan kepada semua pembaca yang sudi komen, berkongsi nasib, mendoakan yang baik baik buat diriku, menasihati, serta tidak jemu membaca dan menanti coretan kisahku ini.
Rupanya ramai lagi pelajar di luar sana yang mengalami nasib yang seakan serupa denganku. Aku yakin, kalian semua adalah antara mereka mereka yang kuat!
Malah ada yang sangat berjaya mengubah takdir hidup. Tahniah aku ucapkan. Doa kutitipkan buat sekalian pembaca. Semoga kita semua dilindungi dengan rahmat dari yang Maha Esa. Menjadi orang yang sangat cekal dan tabah dalam menghadapi pancaroba kehidupan yang mendatang. Inshaa Allah…
Menjawab kepada komen pembaca pada ceritaku yang terdahulu. Aku tidaklah menyalahkan orang lain mahupun menyalahkan takdir.
Apa yang telah tertulis dalam hidupku ini, adalah pengalaman berharga dari liku-liku kehidupanku, yang tidak boleh ditukar ganti dengan wang ringgit.
Siapalah aku untuk mempertikaikan takdir yang tertulis, sedangkan aku telah pun berdamai dengan takdir itu. Kerana ini jugalah, aku terus menulis dan berkongsi ceritaku disini.
Bagiku, perjalanan hidupku ini begitu indah dan pernuh dengan warna warni kehidupan. Harapanku, semoga penceritaanku ini, sedikit sebanyak dapat memberi pengajaran, kekuatan serta berkongsi cerita pada mereka yang punyai nasib yang serupa denganku.
Kepada pembaca yang bertanya, apakah yang terjadi kepada budak budak lelaki yang “agak nakal” itu. Aku sendiri tidak punya jawapan untuk itu.
Selepas tamat persekolahan rendah tahun 6, aku dah “lost contact” dengan mereka semua.
Cuma satu dua dari mereka yang aku tahu. Seorang sudah berjaya dengan kerjaya yang diceburi dan seorang lagi berjaya mengembangkan perniagaan warisan. Alhamdulillah dan tahniah aku ucapkan…
Lain lainnya hilang tanpa jejak. Entah apa nasib mereka. Aku harap yang baik baik sahaja.
Semoga anak anak mereka tidak mengalami nasib yang serupa dengan diriku… Semoga kebahagiaan milik semua kanak kanak didunia ini… Amin y.r.a…
Kepada pembaca yang ingin “viralkan” kisah ini, agar si pembuli datang meminta maaf kepadaku. Jutaan terima kasih aku ucapkan. Sungguh aku amat terharu kerana kamu sangat prihatin dan berhati mulia.
Namun… tak apalah. Aku anggap, budak budak yang “agak nakal” itu, masih lagi tidak matang pada waktu dan ketika itu.
Mereka hanya ingin ketawa dan bersuka ria tanpa mereka sedari, yang mereka secara tidak sengaja, telah menyakiti perasaan dan maruah “rakan miskin” yang tidak pernah dianggap ini…
Yang sebenarnya, dikalangan budak budak lelaki yang “agak nakal” itu, ada satu yang aku anggap sebagai “Ketua” dari segala permainan yang mereka ciptakan.
Aku namakan dia sebagai “Duri”. Yang selebihnya hanyalah pengikut yang merasa seronok bila permainan itu berjaya dilakukan.
Duri bukanlah dikalangan murid yang “berada”. Dari pemerhatianku, dia juga tergolong dari kalangan pelajar yang kurang berkemampuan dan bermasalah.
Pakaian sekolahnya juga sama sepertiku “agak kecoklatan” dan lusuh. Tapi entah mengapa, dia selalu menjadikan aku “sasarannya”.
Dia dan aku tidak ada lebih tidak ada kurangnya, kami dari latar belakang yang lebih kurang sama.
Cuma yang membezakan kami, adalah sikap dan adab berkawan yang ada dalam diri masing masing. Mukanya bengis, dan perlakuannya seperti “gengster” sekolah.
Untuk pengetahuan pembaca sekalian, dalam satu kelas ada 40++ pelajar. Jadi guru tidak dapat nak menumpukan sepenuh perhatian kepada semua murid.
Biasalah, murid yang bijak dan duduk dibarisan hadapan akan mendapat lebih perhatian dari guru. Manakala yang duduk dibahagian belakang agak “keciciran”.
Ya… aku adalah pelajar yang “keciciran” itu. Ingat tak, pada penceritaanku sebelum ini, aku sudah pandai membaca seawal usiaku 6tahun. Aku berusaha belajar sendiri dirumah, tiada siapa yang membantu.
Namun begitu, nasib tidak menyebelahi aku. Tahun demi tahun silih berganti, akhirnya aku tergolong dikalangan pelajar yang keciciran.
Ada yang bertanya kepadaku, tidak adakah guru yang perasan aku “dibuli”?! Jawapannya memang ada. Duri dan rakan rakan yang lain pernah dimarahi oleh cikgu.
Tapi dengarnya hanya sekejap, lain hari mereka buat lagi. Pengikutnya hanya merancakkan lagi “permainan”.
Manakala Duri merupakan ketua dari segala “permainan”.
Puaslah cikgu memarahi,terutama Duri… tapi seakan mencurah air ke daun keladi. Dia tidak pernah mengendahkan segala kata kata cikgu yang menegurnya.
Paling tidak dia akan “warning” aku untuk tidak mengadu pada cikgu. Jika aku berbuat demikian, nasib yang lebih teruk akan aku hadapi.
Aku memang tidak pernah mengadu kepada cikgu, tapi ada rakan rakan perempuan yang baik hati yang mengadu pada cikgu.
Apabila Duri dimarahi, dia akan memandangku dengan pandangan yang sangat tajam, seakan ingin membalas dendam. Sungguh pada ketika itu, aku takut dengan dendam si duri.
Duri sebenarnya seorang pelajar yang bijak, tapi entah mengapa dia suka menyakiti orang lain.
Kenapa aku kata duri bijak, kerana dia sentiasa ada “plan” untuk kenakan aku. Perancangannya teliti, Duri akan kenakan aku hanya bila tiada cikgu di dalam kelas.
Kebiasaannya bila waktu awal naik rehat, bila guru tidak masuk ke kelas, bila guru datang lewat ke kelas ataupun pada waktu pendidikan jasmani.
Waktu pendididkan jasmani, cikgu selalulah meminta murid murid untuk melakukan aktiviti bebas… Sungguh… Duri mengunakan kesempatan dari ruang masa yang ada sepenuhnya untuk mengganggu aku.
Tidak pernah terdetik dibenak fikiranku untuk meyalahkan cikgu. Malah aku amat berterima kasih di atas segala ilmu yang dicurahkan.
Dimarahi, didenda, dicubit dan dirotan oleh cikgu itu perkara biasa bagiku. Al-maklumlah pelajar keciciran sering tidak siapkan kerja sekolah atau “kerja rumah”.
“Wahai Cikgu” ingin aku luahkan disini, bukanlah aku sengaja tidak mahu menyiapkan “kerja rumah” yang diberikan, tapi aku telah hilang semangat untuk berusaha.
Masih segar dalam ingatanku, ketika aku terlalu seronok untuk belajar ilmu yang engkau curahkan aku “dijerkah”.
Pada suatu hari, di awal pagi, selepas mak menghantarku ke kelas, mak telah bertemu dengan guru kelasku.
“Cikgu saya nak tanya…. kenapa cikgu tidak pernah memberikan kerja rumah kepada Bunga? Setiap hari, bila saya bertanya pada Bunga, ada kerja rumah atau tidak, jawapannya mesti “tidak”. Tanya ibuku kepada guru kelas tersebut.
“Eh… saya selalu memberikan murid kerja rumah dan harus disiapkan dirumah. Sepengetahuan saya, Bunga sentiasa siap membuat kerja rumah yang diberikan”.
Jawap cikgu untuk menjelaskan persoalan mak. Maka mak pun berlalu pergi dan balik kerumah dengan berjalan kaki.
Apabila cikgu masuk ke kelas pada hari tersebut, cikgu menceritakan kepada semua murid, bahawa mak aku telah datang kesekolah, dan bertanyakan soal “kerja rumah” yang diberikan.
Cikgu bercerita dengan sindiran dan mungkin juga menyampah dengan sikapku, kerana mak datang mempersoalkan kerjanya. Aku tertunduk malu…
Sebenarnya sebelum balik ke rumah, aku sudah pun menyiapkan kerja rumah yang diberikan oleh cikgu disekolah. Sebab itu, bila tiba di rumah, tiada lagi kerja rumah yang harus aku siapkan.
Bila tiada kerja rumah yang perlu di siapkan, aku akan keluar bermain. Mungkin hal ini yang membuatkan mak marah dan bertanya pada cikgu.
Bertitik tolak pada kejadian itu, cikgu melarang murid murid membuat kerja rumah disekolah. Kerja rumah harus disiapkan dirumah.
Masa ini aku darjah 3. Maka dengan itu, aku mula tidak menyiapkan kerja rumah yang cikgu berikan.
Bila tiba dirumah kepalaku hanya ingat untuk “bermain”. “Ah, main dulu lah… nanti nantilah buat kerja rumah” getus hatiku…
Bagiku, di sekolah aku tiada teman untuk bermain. Bila di rumah, inilah satu-satunya tempat yang aku punya “kawan”.
Aku ada beritahu kan, pada penceritaan sebelumnya, bila waktu balik sekolah, aku akan berkawan dengan saudaraku yang tinggal sekampung denganku.
Jika tidak bermain, aku akan kerumah atukku untuk menonton tv.
Bila esoknya nak ke sekolah aku mula resah. Kerja rumah masih belum disiapkan. Kerana ini jugalah aku sering di marah, dirotan, dicubit serta di denda oleh cikgu kerana tidak menyiapkan tugasan yang diberikan.
Aku akur, memang aku yang bersalah. “Apa nak jadi lah dengan kau nie wahai Bunga” jauh disudut hati aku merungut….
Bermula dari kejadian itu, aku menjadi pelajar yang keciciran. Masa pertengahan tahun 4, aku dimasukkan ke kelas “pemulihan khas”. Kelas ini khas untuk pelajar pelajar yang keciciran dan tidak menguasai 3M.
Aku seronok sangat masuk ke kelas itu, kerana aku belajar semula mengenal A,B,C, mengira dan mengeja. Tambahan pula, di dalam kelas tersebut tiada Duri dan gengnya….
Kerja rumah yang diberikan juga sangat sangatlah mudah. Hanyalah menyalin semula huruf A-Z seperti budak tahun 1. “Heaven” sangat aku dimasukkan ke kelas tersebut. Hehehe…
Rupa rupanya aku dimasukkan ke kelas tersebut kerana mata pelajaran matematikku yang lemah. Cikgu pemulihan khas pula sangatlah baik… Tidak marah marah dan sangatlah penyabar orangnya.
Aku sebenarnya keliru dengan nombor belas dan puluh. Contohnya, bila aku menjawap soalan 10+4 = 14 tapi aku tidak menulis 14, Aku menulis mengikut bunyi… ( 4 ) dan belas ( 1 ), jadi jawapannya 41.
Maka banyaklah jawapan jawapan matematikku yang salah. 41 akan tetapi menjadi 41, tapi 14 pon akan menjadikan jawapannya 41. Aduhai la Bunga….
Peliknya cikgu tidak pernah bertanyakan aku tentang kelamahan ku ini. Aku sendiri yang tersedar akan kelemahan ini. Itupun bila aku masuk ke kelas pemulihan khas tersebut.
Cikgu menghantar aku ke kelas ini kerana “beranggapan” aku pelajar yang keciciran. Sering tidak menyiapkan kerja rumah yang di berikan. Pelajaranku merosot.
Jika ada yang bertanya apa kenangan manis aku disekolah. Inilah kenangan manis yang aku ada. Masuk ke kelas pemulihan khas. Kami di ajar mengira asas matematik yang mudah tambah dan tolak.
Segala kerja rumah sekelip mata aku siapkan, dek kerana terlalu mudah bagiku. Hehehe…. Sungguh seronok! sehingga sambil menulis ini aku tersenyum bila memikirkannya.
Aku masuk ke kelas pemulihan khas tersebut tidak lama. Seingat aku hanya satu atau dua bulan sahaja.
Bila cikgu kelas pemulihan sedar, yang sebenarnya aku sudah pandai semua, aku dimasukkan kembali ke dalam kelas pelajar biasa.
Oh cikgu! aku tidak mahu berpindah dari kelas ini… aku tidak mahu berjumpa dengan Duri dan rakan rakan yang lain…
Selain dari kejadian “dijerkah” yang membuatkan aku “terbantut” untuk menyiapkan kerja rumah, sebenarnya, ada kejadian lain yang membuatkan aku sering tidak menyiapkan kerja rumah tersebut.
Aku sering tidak hadir ke sekolah. Ya… hal ini jugalah yang menjadikan aku antara pelajar keciciran.
Pada penulisan ku yang pertama, aku ada maklumkan sikap ayahku bukan. Oleh kerana sikapnya yang “baran” itu, membuatkan aku sering tidak hadir ke sekolah.
Adik beradik ku yang lain juga sama. Sampaikan, cikgu sendiri datang ke rumah untuk mendapatkan kepastian tentang ketidakhadiran kami ke sekolah.
Kadang, bukan sehari dua aku tidak hadir ke sekolah. Malahan pernah hampir sebulan lebih aku tidak hadir ke sekolah. Aku gembira kerana tidak perlu berjumpa dengan duri dan rakan rakan yang lain.
Tapi pada masa yang sama, aku juga turut bersedih mengenangkan nasib diriku ini.
Mesti kalian tertanya-tanya, apa kaitannya sikap baran ayahku dengan ketidakhadiranku ke sekolah. Sikap baran ayah bukan hanya tahap memarahi, tapi sehingga tahap memukul. Ayah tidak pernah sekalipun memukul kami anak anak perempuannya.
Tapi, ayah sering kali melepaskan kemarahannya kepada mak. Ya… mak yang sering kali menjadi mangsa amarah ayah.
Buat mak… Apalah sangat penderitaan yang Bunga hadapi disekolah, jika hendak dibandingkan dengan derita yang mak tanggung di rumah.
Bunga bukan tidak mahu berkongsi cerita dengan mak, cuma Bunga tidak mahu menambah beban dan kerunsingan hati mak. Bunga sayang sangat sangat dengan mak….
Mak…. di sekolah mereka ejek Bunga dengan pelbagai panggilan. Tapi, sedikitpun bunga tidak pernah ambil hati dengan ejekan tersebut.
Ini kerana, kata-kata dan panggilan yang sering kali diucapkan ayah ketika marah, lebih hebat dari apa yang bunga dengar di sekolah.
Bab*i, Anji*g, Si*l, Haram jad*h, Bangs*t, ibl*s, lahan*t, Gampa*g, cela*a dan macam macam lagi panggilan kesat yang dilemparkan, bagaikan sudah lali di telinga bunga mak…
Mak… disekolah “kawan kawan” Bunga hanya mengejek dan mengambil barang barang Bunga sahaja. Alhamdulillah… Mereka tidak pernah memukul atau mencederakan Bunga.
Apalah sangat kisah Bunga di sekolah, jika dibandingkan kisah mak di rumah. Dihadapan mata Bunga, mak mengharungi semuanya sendirian dengan tabah.
Mak… menjadi janda itu tidak salah. Tetapi yang mengambil mak sebagai isteri, dan mengabaikan tangungjawabnya sebagai seorang suami, itulah yang paling berdosa besar.
Sungguh, penderitaan yang mak lalui dirumah, menjadikan bunga seorang anak yang cekal dan tabah menghadapi “ujian” dengan rakan rakan di sekolah.
Masih bunga ingat… petang itu, mak membawa bunga dan adik beradik yang lain menonton tv di rumah jiran.
Tiba tiba, terdengar suara ayah memanggil mak dari luar dengan kuat.
” Kiantan!!! Kiantan!!! Kau ada di dalam ke?! Kalau ada keluar!!! Balik!!! Jerit ayah sekuat hatinya…
Mak dengan tergesa gesa memohon maaf kepada jiran untuk beransur pulang. Mak tarik tangan Bunga dan menyuruh adik beradik yang lain keluar dari rumah tersebut.
“cepat… nanti ayah kau marah… ” tegas mak kepada kami semua. Dengar suara ayah, kami mula ketakutan. Bingkas kami semua cepat cepat keluar dari rumah tersebut.
Sejurus kami semua memakai selipar dan mula berjalan pulang ke rumah, Zassssss!!!!! Satu libasan kayu “dihadiahkan” di belakang mak… “dah nak magrib kau tak tahu nak balik ye!!!
Bertandang ke rumah orang bawak anak anak, sampai tak ingat nak balik rumah!!!” Pekik ayah sekuat hati.
Zassss!!! Zassss!!! beberapa pukulan lagi dibelakang badan dan kaki buat mak…. Sekali sekala, mak cuba mengelak dari pukulan ayah.
Tidak habis di situ, sesampainya di rumah, ayah menyambung lagi kemarahannya yang masih lagi tersisa. “kedegang!!!” Bunyi yang kuat kedengaran di dapur.
Rupanya, ayah menelungkupkan makanan yang mak masak di dapur. Habis bertaburan makanan di lantai.
Tidak puas dengan itu “pang!!!!” Dipecahkan pula pinggan pinggan dan cawan cawan kaca yang ada di dapur, sambil mulutnya tak lekang dengan memaki hamun.
Kami semua bergegas mandi dan menunggu waktu untuk solat. Masing masing diam seribu bahasa. Habis solat kami mengaji dengan suara yang perlahan.
Mak pulak mengintai dapur untuk menguruskan dapur yang teruk berselerak. Lauk pauk dan kaca kaca penuh bertaburan di lantai… “tabahnya hatimu wahai sang ibu…”
Pabila malam menjelma, ayah keluar. Mak kata ayah keluar jumpa kawan. Lega hati kami semua, bila mendengar moto ayah keluar dari perkarangan rumah.
Ditemani kegelapan malam yang hening dan cahaya lampu pelita, aku bermain bayang bayang bersama adikku “si Ranting”. Abang dan kakak sibuk menyiapkan kerja sekolah.
Jam dinding menunjukkan hampir pukul 11 malam. Tetapi ayah masih belum balik. Kadang kala, ayah memang balik lambat sampai lewat pagi. Mungkin berjumpa dengan kawan kawan, lebih menenangkan jika dibandingkan di rumah. Sebelum ayah pulang, mak meminta kami semua cepat cepat tidur.
“Cepat tidur sebelum ayah kau balik… kalau ayah balik dan dengar korang semua masih belum tidur, nanti dimarahnya mak lagi” pinta mak kepada kami.
Mata yang masih segar cepat cepat kami pejam bagi mengelak amarah ayah. Kami semua sedia maklum akan natijahnya.
Untuk pengetahuan semua pembaca, mak aku memang suka menyanyi. Suara mak pun merdu. Jadi untuk membuatkan kami semua lena, mak akan mula menyanyi sambil menepuk nepuk adikku si ranting.
Masih aku ingat mak mendendangkan lagu “intanku liyana” nyanyian A Ramlie. Korang boleh google ye lagu nie. Di ubah lirik lagunya sedikit untuk mendodoikan kami semua.
Lirik nya lebih kurang bergini ; ” Anakku sayang, dengarlah ini, ibu nyanyikan lagu untuk semua… Bila kau dewasa kau akan berjaya, kau akan menjadi seorang pemimpin negara. Harapan ayah, harapan bonda, nanti besar nanti kau akan dipandang mulia…
ibu berasa bangga bila dihari jua, anakku bergembira, sayang… sayang… dengar anakku, pesanan ibumu, buatlah azimat, bila kau dewasa ” [ yang lebihnya korang dengar dan hayatilah sendiri ye… ]
Sambil menyanyi, kulihat mak sekali sekala menyekang air mata yang membasahi pipi… Keesokkan harinya, aku tetap pergi sekolah seperti biasa.
Bibirku tidak pernah lekang dari senyuman. Walau apa pun jua “permainan” yang duri dan rakannya perlakukan kepadaku, aku tetap tersenyum.
Malah jika aku dimarah, dirotan, dicubit oleh cikgu, aku juga masih mampu mengukir senyuman.
Kadang kala, senyumanku itu membuatkan cikgu berasa marah. mungkin dia fikir aku sedang mengolok-olok mereka.
Tapi percayalah cikgu, bahawasanya aku memang suka tersenyum. Di dalam senyuman ini jualah, aku sorokkan seribu macam kesedihan yang tidak terungkap dengan kata-kata. Allahuakhbar.
Lahir dalam “broken family” bukanlah sesuatu yang indah untuk dikenang. Hari demi hari berlalu bagaikan membnuh jiwaku secara perlahan lahan.
Ku sekang air mata dan memaparkan kegembiraan dengan senyuman. Yang ku angankan hanyalah seorang rakan sepermainan untuk mengubat kesakitan, tetapi yang ku terima hanyalah “bulian dan penghinaan”.
Apa yang aku tahu pada usia sementah itu, hanyalah “permainan” dan “ketakutan”.
Balik dari sekolah, aku pangil panggil mak, tapi mak tak bersahut. Aku dan yang lain tunggu juga mak.
Tapi sehingga ke malam mak tak juga kunjung pulang. “Mak sudah lari dari rumah” kata kakakku “kak Melati”. Kami semua sedih, tapi kami tak mampu nak lakukan apa apa.
Jika mak dipukul ayah, kebiasaanya mak akan melarikan diri dari rumah. Dia akan pergi kerumah saudaranya nun jauh di tengah pantai barat di semenanjung Malaysia.
Biasanya, mak akan duduk di sana dalam masa seminggu atau seminggu lebih, sebelum pulang semula ke rumah. Selama itu jugalah aku dan adik beradik yang lain tidak bersekolah.
Jangan kan bersekolah, nak makan pon susah. Ayah tak kisah pon jika kami tidak pergi ke sekolah.
Makan pun kadang kala mengharap ihsan mak cik mak cik yang sekampung dengan kami. Sama ada kami pergi makan di rumah mereka atau mereka menghantar lauk ke rumah kami. Itu pun tidak selalu.
Untuk pengetahuan pembaca, kami anak anak perempuan di larang sama sekali ke dapur untuk menolong mak memasak. Ayah akan memarahi mak, jika dia tahu mak menyuruh kami menolongnya di dapur.
Mak juga lebih suka membuat kerja berseorangan tanpa gangguan anak anak. Takut jadi apa apa pada kami di dapur, ayah akan “naik hantu”. Sebab itulah bila “mak lari” kami tidak mampu nak berdikari.
Jika mak cik tidak menghantar makanan, ataupun kami tidak pergi ke rumah mereka, kami akan makan nasi bercampur kicap sahaja. Ayah yang memasak nasi. Jadi kadang kala nasinya jelantah pun kami makan sahaja.
Jika ayah rajin, dia akan menggoreng ikan buat kami semua, hasil tangkapannya di laut. Ayah memang tidak suka kami meminta minta makan ke rumah orang lain. Kami semua tetap bersabar menunggu mak kembali.
Di awal penceritaan, Bunga ada beritahu kan, yang ayah bunga bekerja sebagai buruh kampung. Ayah bekerja mengikut “mood”. Kalau rajin, rajin sangat. Kalau malas, malas sangat.
Pelbagai kerja ayah buat, pajak pokok buahan ( bermusim ), bela ayam dan itik ( di biar lepas tiada kandang ), tebang pokok, mesin rumput, buat rumah, ke laut dan macam macam lagi kerja kampung yang ayah lakukan.
Banyak kan kerja yang ayah bunga buat. Tapi entah kenapa duit masih lagi tidak mencukupi.
Mak pun hairan, entah kemana duit ayah gunakan, emak pun tidak tahu. Bila di minta pasti tiada duit.
Mak kata, bila kawan kawan nya yang meminta pinjam, laju sahaja dikeluarkan duit dari simpanannya secara senyap senyap.
Jadi sebab itulah mak Bunga mencari “duit poket” sendiri untuk menanpung kami semua. Mak menoreh getah, basuh pinggan di kedai makan, kerja di kantin sekolah, menjual kuih, menjual hasil tanaman hutan dan macam macam lagi.
Tapi semua pekerjaan yang mak buat ada sahaja yang tidak berkenan di mata ayah. Jadi mak selalu bertukar tukar kerja.
Tapi, jika mak tidak pergi bekerja, siapa yang akan mencukupi keperluan kami semua. Terutama untuk urusan persekolahan kami.
“Mak cari duit susah tak apa, asalkan anak anak mak semua habis sekolah”. Itulah kata kata yang mak sering ucapkan pada kami semua. Terima kasih mak untuk pengorbanan yang tak ternilai ini….
Oklah… panjang sungguh penceritaan bunga kali ni. Sebenarnya memang bunga nak cepat cepat tamatkan cerita Bunga ni. Tapi bila Bunga mula menulis, ada sahaja cerita yang ingin Bunga kongsikan lagi dan lagi…
Maaf sekali lagi kepada semua pembaca, jika mengambil masa yang lama untuk Bunga tamatkan cerita Bunga ni. Selagi mana ada yang sudi membaca cerita bunga, bunga akan teruskan penulisan Bunga disini.
Terima kasih kepada para pembaca, kerana sudi mengikuti kisah bunga yang tidak seberapa ini. Terima kasih juga, kerana memberi bunga semangat untuk terus berkongsi dan menulis.
Inshaa Allah… Ada kesempatan dan ruang masa nanti bunga sambung lagi ye… Bunga juga nak mintak maaf jika penceritaan Bunga kali ini kurang “related” dengan tajuk.
“Semalam adalah kenangan, hari ini ialah kenyataan dan esok adalah harapan”. “Salam sayang dari bunga untuk semua ( Ghost hugs; you can’t feel it, but it’s there! )
Aku yang berdamai dengan takdir. Sumber – Bunga Putih (Bukan nama sebenar) via IIUMC