Kota Tinggi: Allahyarhamah Nurul Nazihah Kamalul Arifin yang maut dalam kemalangan di Kilometer 45.7 Lebuhraya Utara Selatan malam tadi, baru kembali daripada menunaikan umrah bersama suami dan ibu bapanya minggu lalu.
Kamalul berkata, meskipun sedih dengan pemergian anaknya itu, dia reda apatah lagi apabila diberitahu jasad anaknya ditemui sempurna, seolah-olah sedang duduk antara dua sujud.
“Apabila dimaklumkan oleh ahli keluarga bahawa keadaan jasad arwah masih sempurna, saya rasa syukur dan yakin ini mungkin berkat amalannya ketika hidup yang sangat tegas dalam bab agama,” katanya sambil menyifatkan anaknya itu seorang yang ceria dan penyayang.
Sementara itu, sepupu kepada suami mangsa, Nurizzah Atikah Jamaluddin, 28, berkata suami mangsa, Redzuan Jamil masih trauma dengan kejadian yang berlaku sehingga mengigau bertanya tentang isterinya malam tadi.
Katanya, sepupunya itu ada bercerita bahawa ketika kejadian dia berusaha menyelamatkan Nurul Nazihah atau lebih mesra dipanggil Azi, yang tersepit tetapi gagal sehingga orang awam bertindak menyelamatkan Redzuan melalui pintu belakang kereta.
“Saya memang tak sangka sebab Azi seorang yang periang, kelakar dan suka ambil gambar atau video” katanya.
Terdahulu, tinjauan Bernama di rumah keluarga mangsa di Kampung Lukut mendapati ia dipenuhi dengan ahli keluarga, sahabat handai dan jiran yang menunggu ketibaan jenazah Allahyarham dalam suasana hiba.
Allahyarham dijangka dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Temenin Lama, dekat sini sebaik saja jenazah tiba dan disembahyangkan.
Terdahulu, dua individu dilaporkan rentung manakala empat terselamat dalam kemalangan melibatkan empat kenderaan berdekatan Sedenak pada 7.47 malam tadi.
Nurul Nazihah ditemukan tersepit dalam Proton Wira manakala seorang lagi adalah mangsa dalam Toyota Vios tetapi belum dikenal pasti identitinya.
Ketenangan Saksi
“Ketika kejadian, jalan memang sesak, tiba-tiba datang sebuah lori lorong kiri laju terus melanggar beberapa buah kenderaan.”
Demikian kata saksi kejadian, Mohd Ridhwan Othman, saksi kejadian nahas empat kenderaan yang menyebabkan dua mangsa rentung di Kilometer 45.7 Lebuhraya Utara Selatan arah Selatan dekat sini, malam tadi.
Dia yang pada masa itu dalam perjalanan ke Johor Bahru berkata, jalan sedikit sesak dan kenderaan bergerak perlahan ketika itu.
“Ketika kejadian saya memang berada di lokasi, pergerakan kenderaan perlahan ketika itu.
“Di lorong kiri, tentunya untuk pemanduan yang tidak laju, tetapi tiba-tiba datang sebuah lori terus merempuh beberapa kenderaan lain.
“Kejadian sangat pantas, tidak lama kemudian beberapa kenderaan terus terbakar dan api marak.
Seorang lelaki menjerit memanggil isterinya dan memberitahu kami bahawa terdapat isterinya di dalam kereta yang terbakar.
“Kami hanya boleh menenangkan lelaki tersebut dan membawanya ke kawasan jauh sedikit demi keselamatannya,” katanya ketika dihubungi di sini.
Jelas Mohd Ridhwan, akibat kemalangan itu, lebuh raya ditutup sementara oleh pihak berkuasa bagi tujuan operasi pemadaman dan penyelamatan.
“Saya lihat memang sesak lebuh raya akibat kemalangan ini. Hampir tiga hingga lima jam tersekat di atas lebuh raya,” katanya.—HM