Kebiasaannya, setiap posting di laman group Facebook Edit Apa Hari Ini akan berakhir dengan gelak tawa apabila seseorang meminta ahli di dalam group tersebut untuk mengedit gambar mereka.
Namun, ada kalanya suasana dalam group berkenaan bertukar menjadi serius dan sebak, apabila permintaan seseorang itu menyentuh hati nurani ramai.
Baru-baru ini, seorang wanita dikenali sebagai DhiyaSyajaah MohdAzmi meminta agar fotonya bersama anak yang baru dilahirkan diedit untuk nampak bersama suaminya yang telah meninggal dunia sewaktu perayaan AidilAdha yang lalu.
“Nak minta tolong pakar-pakar editkan gambar suami berdiri sebelah saya dan anak kami. Arwah suami meninggal masa raya haji, tak sempat lihat anaknya lahir.
“Semoga gambar ini dapat jadi tatapan buat anak kami kelak, mesti dia seronok sangat. Terima kasih semua,”tulisnya.
Meskipun takdir telah memisahkan mereka, dia berharap agar gambar berkenaan akan menjadi sesuatu yang bermakna buat anak setelah dewasa kelak kerana memiliki gambar bersama seorang insan bergelar ayah.
Ini je mampu, moga ceria selalu
Rata-rata penghuni grup tersebut sedaya upaya menghasilkan suntingan bermakna buat tatapan anak wanita berkenaan. Mereka juga berharap agar dengan suntingan tersebut ia dapat menceriakan dan melengkapkan gambar keluarga kecil itu.
Malah, ramai turut menitipkan mendoakan agar arwah suaminya ditempatkan dalam kalangan orang beriman dan anak tersebut menjadi seorang insan yang membahagiakan ibunya. Sumber: Facebook Edit Apa Hari Ini